'Tempoh pendaftaran pemain tidak akan dilanjutkan', Liga Bolasepak Malaysia (MFL) enggan berkompromi dengan mana-mana pasukan berhubung tempoh pertama pendaftaran pemain Liga Malaysia 2022.

Ia susulan Perak FC berperang dengan masa untuk bebas daripada sekatan perpindahan pemain kerana perlu menjelaskan hutang hampir RM1.8 juta sebelum jendela perpindahan berakhir 22 Februari ini.

Turut berdepan situasi sukar untuk melakukan pendaftaran adalah UiTM FC dan perkongsian lanjut bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Sebagai contoh pasukan Perak yang berdepan penggantungan perpindahan pemain ketika ini, ini bermakna mereka tidak boleh menjalankan perpindahan pemain bagi musim 2022," kata Ketua pegawai eksekutif MFL, Stuart Ramalingam.

"Mengenai pasukan UiTM, saya telah berhubung dengan pihak kelab selepas pertukaran pemilikan kelab dan situasi tersebut membuatkan persiapan mereka tergendala, buat masa ini, mereka masih lagi akan mengambil bahagian bagi saingan musim 2022."