Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ghani Hassan, bimbang seandainya jadual perlawanan Kumpulan H dan Kumpulan I Piala AFC musim ini akan bertembung dengan saingan Liga Malaysia seandainya ia diadakan dalam masa terdekat.

Tetapi hakikatnya, agak mustahil untuk Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mendapatkan penganjur bagi kejohanan itu sebelum Liga Malaysia bersambung pada 24 Julai ini.

Setakat ini, AFC masih belum membuat sebarang pengumuman mengenai tarikh baru saingan itu selepas Singapura menarik diri daripada menjadi tuan rumah pada hujung bulan lalu.

Bagaimanapun, MFL tetap perlu bersedia terhadap sebarang kemungkinan, termasuk pertembungan jadual di antara kedua-dua kejohanan berkenaan.

"Sudah tentu (ada kebimbangan) kerana kami mempunyai waktu yang singkat untuk meneruskan Liga Malaysia," kata Ghani kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

"Kami perlu manamatkan Liga Super dan Liga Perdana selain menganjurkan Kejohanan Piala Malaysia dan Piala Cabaran sebelum penghujung November depan.

"Saya tidak nampak ia (Piala AFC) boleh dianjurkan kerana bukan negara kita sahaja dilanda pandemik COVID-19.

"Bagaimanapun, kami masih menunggu keputusan AFC," katanya.

Malaysia akan diwakili Kedah Darul Aman FC dalam Kumpulan H dan Terengganu FC dalam Kumpulan I Piala AFC.