Pemain tengah Schalke 04, Max Meyer, dijangka mengikut jejak langkah rakan sepasukan, Leon Goretzka, untuk meninggalkan pasukan pada akhir musim ini.

Perkara itu disahkan pengarah sukan kelab, Christian Heidel, sekali gus menarik perhatian Arsenal, Liverpool dan Tottenham Hotspur yang sudah lama mengintai khidmat pemain berusia 22 tahun itu.

Seperti Goretzka, Meyer telah menolak tawaran baru yang diberikan oleh Schalke walaupun skuad kendalian Domenico Tedesco itu kini menduduki tangga kedua Bundesliga, membuatkan pemain Jerman itu bakal bergelar ejen bebas.

Heidel tampak sudah berputus asa untuk cuba meyakinkan Meyer agar kekal bersama pasukan dan menandatangani kontrak baru.

"Ketika ini, kami menjangkakan Meyer akan meninggalkan pasukan pada musim panas akan datang. Ia tampak akan berlaku.

"Tiada tawaran susulan diberikan kepadanya dan Meyer tidak cuba untuk mengadakan perbincangan semula," kata Heidel.

Januari lalu, Goretzka mengumumkan bahawa dia akan berhijrah ke Bayern Munich sebaik sahaja tamat musim ini dan menandatangani kontrak selama empat tahun.