Mesut Ozil sah bergelar pemain Istanbul Basaksehir selepas kontraknya ditamatkan oleh satu lagi kelab Liga Super Turki, Fenerbahce.

Bekas pemain kebangsaan Jerman itu menandatangani kontrak setahun di Stadium Fatih Terim dengan pilihan untuk melanjutkannya 12 bulan lagi selepas itu.

Ozil sepatutnya masih mempunyai kontrak bersama Fenerbahce sehingga penghujung musim 2023-24 tetapi dia disingkirkan daripada pasukan utama selepas pengendali baru, Jorge Jesus, menjelaskan bahawa pemain tenagh itu tidak berada dalam perancangannya.

Selepas sah meninggalkan pasukan naib juara Liga Turki musim lalu itu semalam, Ozil mengirimkan satu ciapan Twitter.

"Satu perkara yang tentang kehidupan adalah ia penuh dengan ketidakpastian. Perancangan kita, keinginan dan harapan kita tidak selalunya menuju ke arah yang kita inginkan.

"Saya mahu menempa kejayaan dengan mendapat lebih peluang untuk bermain dengan Fenerbahce, yang sentiasa menjadi impian saya sejak kecil.

"Saya mahu berterima kasih kepada komuniti di Fenerbahce dan penyokong atas sokongan yang sentiasa mereka berikan buat saya," ciapnya.

Pemenang Piala Dunia 2014 itu melakukan 37 penampilan dan menjaringkan sembilan gol sepanjang satu setengah tahun bersama Fenerbahce.