Lionel Messi mahukan ketenangan dan meminta semua pihak tidak terlalu cemas walaupun Argentina sekadar terikat seri 1-1 dalam aksi pertama kempen Piala Dunia 2018, semalam.

Argentina memulakan cabaran untuk menebus kehampaan muncul naib juara empat tahun lalu dengan berdepan Iceland di Moscow, membuka tirai jaringan menerusi Sergio Aguero, sebelum Alfred Finnbogason memadamkan gol tersebut.

Messi berpeluang menjaringkan gol kemenangan buat pasukannya tetapi sepakan penalti bintang Barcelona itu diselamatkan oleh penjaga gol, Thor Halldorsson, menjadikan jumlah keseluruhan 11 percubaan daripada Messi, namun tiada satu yang memberikan jaringan.

Bagaimanapun, kapten yang tiga kali mengetuai Argentina tewas dalam final di pentas besar sejak 2014 itu tidak mahu berasa cemas.

"Bukan mudah buat kami untuk memecah masuk. Sukar untuk menembusi lawan apabila mereka bermain terlalu ke bawah," kata Messi.

"Saya bertanggungjawab di atas kegagalan sepakan penalti itu. Ia memedihkan.

"Bagaimanapun, kami tidak perlu menjadi seperti orang gila dan berasa panik, sebaliknya perlu meningkatkan prestasi. Kami juga harus tenang," ujarnya.

Pemain berusia 30 tahun itu kini sudah mencatat empat kegagalan dalam tujuh sepakan penalti terakhir buat kelab dan skuad kebangsaan, namun dia tidak mahu memikirkannya dan hanya mahu fokus kepada aksi berdepan Croatia, Khamis ini.

"Ini baru permulaan dan kami sedar ia tidak akan mudah.

"Kami wajar mendapatkan kemenangan dan beraksi lebih baik berbanding Iceland. Kini, kami harus menumbangkan Croatia."