Pengurus Barcelona, ​​Ronald Koeman, memuji pengaruh Lionel Messi yang mengubah nasib mereka sebaik dimasukkan dari bangku simpanan sebagai inspirasi kemenangan 3-2 ke atas Real Betis dalam pertemuan LaLiga, awal pagi tadi.

Bintang Argentina itu memacu kejayaan Barcelona sebagai pemain gantian dengan menjaringkan gol penyamaan sebelum membelah pertahanan Betis dengan hantaran menariknya.

Pemenang enam gelaran Ballon d'Or itu hanya memerlukan 136 saat untuk menggegar gawang lawan -- gol terpantasnya dalam LaLiga sebagai pemain gantian Barca.

Trincao kemudian memastikan gol kemenangan Barca pada minit ke-87 untuk terus menghambat kedudukan pendahulu, Atletico Madrid, dengan tujuh mata.

Koeman memberi tabik kepada Messi sejurus wisel penamat dengan memberitahu wartawan: "Saya selalu bercakap dengan pemain dan menyatakan idea saya kepada mereka.



"Saya juga ada bercakap dengan Lionel Messi semalam tentang apakah dia lebih rela berehat dan jika kami memerlukannya ketika perlawanan, saya akan memasukkannya,.

"Itulah yang berlaku. Kami ketinggalan 0-1 dan hanya selepas beberapa minit masuk ke padang, dia mengubah rentak perlawanan sepenuhnya.

"Dia menjaringkan gol penyamaan, kemudian memainkan peranan besar dalam separuh masa kedua."

Penyerang itu telah mengumpul enam gol dalam tujuh perlawanan LaLiga terakhirnya sebagai pemain simpanan.

Barcelona memenangi sembilan perlawanan terakhir di stadium keramat mereka -- pencapaian ketiga terbaik buat gergasi Sepanyol itu selepas 13 kemenangan di bawah bimbingan Pep Guardiola 2008-09 selain kebal dalam 10 perlawanan di bawah Luis Enrique dalam musim 2014-15 untuk gergasi Catulanya berkenaan menawan LaLiga, Copa del Rey dan Liga Juara-Juara (UCL).