BARCELONA 2 ATHLETIC BILBAO 0

Lionel Messi menjadi inspirasi kepada kebangkitan Barcelona untuk kekal di landasan memburu tiga kejuaraan, LaLiga, Liga Juara-Juara (UCL) dan Copa del Rey, kata Paco Alcacer.


Kedua-dua pemain itu mencetak nama selaku penjaring bagi membantu Barca melakar kemenangan 2-0 ke atas Athletic Bilbao di Camp Nou, awal pagi tadi, untuk anak buah Ernesto Valverde itu lebih unggul daripada Real Madrid dalam saingan domestik.

Alcacer memecah kebuntuan apabila menyempurnakan umpanan daripada Jordi Alba pada minit kelapan sebelum Messi meletakkan Barca semakin selesa setengah jam selepas permainan dilangsungkan untuk melanjutkan rekod kebal tanpa kalah Barca kepada 36 perlawanan.

Alcacer, yang mengakhiri kemarau gol LaLiga sejak November lalu, menganggap Messi kini di kemuncak prestasi.

"Dia menunjukkan kemampuannya pada setiap hari, tidak kira sama ada semasa latihan mahupun perlawanan. Dia menjaringkan lebih banyak gol dan faktor itulah yang meletakkan pasukan ini di mana kami berada sekarang," kata Alcacer.

"Tugas saya adalah untuk membantu pasukan, saya selalu berkata demikian. Saya seorang pemain yang mementingkan kerjasama sepasukan, saya bekerja untuk mereka dan jika saya menyumbat gol, maka baguslah.

"Kami sedar kemampuan pertahanan Athletic, kami tahu gaya mereka tetapi mendapat dua gol pada separuh masa pertama membolehkan kami berehat sedikit pada babak kedua dan ia adalah tiga mata yang baik.

"Mentaliti kami tetap sama -- turun memburu kemenangan. Kami mengetepikan soal kedudukan liga dan memburu kemenangan dalam setiap perlawanan," katanya lagi.

Athletic bergelut untuk mengekang Barca pada separuh masa pertama dan tiang mahupun palang menyelamatkan pintu gol mereka sebanyak tiga kali sehingga mendorong pertahanan lawan, Unai Nunez, memuji Messi sambil bersikap positif terhadap usaha pelawat untuk bangkit.

"Sudah pasti dia (Messi) pemain terbaik di dunia dan dia membuktikannya dalam setiap perlawanan," kata Nunez.

"Pada babak pertama, mereka hebat dan membuktikan mengapa mereka memimpin LaLiga. Mereka jauh lebih baik pada separuh masa pertama tetapi babak seterusnya, kami berbincang dan terpaksa menghidupkan permainan, kami tiada pilihan lain lagi. Meskipun tidak mencetak gol, kami tidak pernah berputus asa.

"Ada perkara yang perlu diperbaiki. Kami perlu menekan mereka lebih tinggi, kami tidak mahu mereka bergerak bebas dan kami perlu memperbetulkannya.

"Kami melihat kemampuan dan bagaimana prestasi kami sendiri. Bermula dari sekarang, kami perlu mempamerkan kemampuan terbaik sehingga akhir musim ini, musim ini belum selesai," ujarnya.