Lionel Messi mungkin turun membuat debut Paris Saint-Germain ketika Mauricio Pochettino mengesahkan bekas bintang Barcelona itu akan tersenarai dalam skuad untuk pertemuan Reims awal pagi esok.

PSG, yang memenangi tiga perlawanan pembukaan Ligue 1, berkunjung ke Reims bagi perlawanan terakhir sebelum rehat antarabangsa.

Messi, berhijrah secara percuma dari Barcelona awal bulan ini, tidak beraksi bertemu Brest walaupun telah mula berlatih dengan rakan sepasukan baru, sementara Neymar turut tidak tersenarai.

Spekulasi berterusan mengenai masa depan Kylian Mbappe selepas Real Madrid berminat mendapatkan pemain tersebut, Pochettino mengesahkan Messi, Neymar dan bintang Perancis itu mungkin akan beraksi bertemu Reims.

"Mereka pasti akan berada dalam skuad, jadi kami akan melihat apakah mereka berada dalam kesebelasan utama esok," kata Pochettino pada sidang akhbar.

"Kami akan menilai bagaimana keadaannya terlebih dahulu sama ada dia boleh berada dalam skuad atau tidak. Saya belum memberikan jawapan yang tepat, jadi saya rasa adalah normal jika ada keraguan mengenai perkara itu.

"Semasa kita menandatangani pemain, kita berusaha untuk tidak mempunyai harapan yang besar, tetapi untuk mencari dan mengetahui maklumat ketika kita bersama. Setiap kelab berbeza sehingga anda tidak dapat membuat perbandingan.

"Apa yang kami dapati mengenai Leo adalah dia profesional dan pemain hebat, walaupun kami tidak perlu mengatakannya. Dia menyesuaikan diri dengan baik dengan kelab barunya, rakan sepasukan baru dan persekitaran baru."