Lionel Messi tidak diragui merupakan pemain terbaik sepanjang zaman tetapi 2018 adalah detik milik Luka Modric, kata bintang Croatia dan Barcelona, Ivan Rakitic.

Modric menjulang trofi Pemain Terbaik Tahunan UEFA dan kini berada dalam kelompok tiga terbaik untuk berpeluang meraih anugerah Pemain Terbaik FIFA selepas membantu Real Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut musim lalu, sebelum mara ke final Piala Dunia bersama Croatia.

Bintang Barca dan pemenang lima kali Ballon d'Or, Messi, secara kontroversi tidak disenaraikan oleh FIFA tatkala Cristiano Ronaldo dan Mohamed Salah menjadi pilihan.

Rakitic adalah rakan sepasukan Messi di Barca dan tiada persoalan mengenai kelibat Messi di atas padang tetapi pemain tengah itu berpendapat bahawa Modric yang memenangi anugerah Bola Emas Piala Dunia layak meraih pengiktirafan pada tahun ini.

"Terdapat beberapa musim yang menyaksikan anda mampu terus menjadi lebih baik atau tidak," kata Rakitic.

"Bagi saya, pemain terbaik dunia dan mungkin terhebat sepanjang zaman adalah Messi. Ia mudah kerana sembilan daripada 10 budak lelaki akan berkata perkara sama.

"Namun, saya rasa 2018 adalah tahun buat Modric. Saya rasa Messi juga maklum mengenai perkara itu, di mana Modric berhak meraih semua pencapaian itu.

"Secara jujur, jika dia memenangi anugerah Pemain Terbaik Eropah, saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk bergelar pemain terbaik dunia.

"Saya tidak perlu membantunya hanya kerana dia rakan baik saya. Modric melakukannya sendiri tanpa bantuan sesiapa. Bagi saya, jelas sekali tahun ini milik Modric."