Pengendali pasukan, Jorge Sampaoli, berkata Lionel Messi seorang pemain "genius" dan Argentina perlu memudahkan haluan buat kapten pasukan itu dalam aksi pusingan 16 berdepan Perancis di Arena Kazan, malam ini.

Messi membuka jaringan ketika merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Nigeria, awal pagi Rabu lalu, dan menghantar Argentina ke pusingan seterusnya.

Pengurus Perancis, Didier Deschamps, berkata pasukannya akan menyekat asakan Messi sementara kapten, Hugo Lloris, melihat tonggak Barcelona itu berpotensi untuk menjadi pencetus kemenangan Argentina.

Sampaoli, bagaimanapun, meletakkan tumpuan untuk memastikan Argentina memberikan sinar keada Messi di Kazan.

"Messi memberikan komitmen penuh kepada pasukan, anda dapat melihatnya di atas padang," katanya.

"Cara dia membaca perlawanan membuat dia seorang yang genius. Jadi, saya berharap setiap pemain dapat memberikan peluang, semangat serta laluan kepada Messi, memberikan intensiti yang sama sepertinya.

"Saya pasti pasukan lawan akan mencari ramuan untuk menghalang Messi tetapi kami memiliki persediaan yang tersendiri untuk memudahkan permainannya," ujarnya.

Satu hantaran jauh Ever Banega membuka laluan untuk jaringan pertama Messi di Russia ketika berdepan Nigeria, dengan kapten Argentina itu meraih gol sulung selepas gagal meledak jaringan berdepan Iceland dan Croatia.

"Kami kurang pada permulaan saingan kerana tidak yakin dengan kebolehan kami," kata Banega.

"Kemenangan ke atas Nigeria melonjakkan semangat pasukan dan kami akan berusaha untuk meningkatkan lagi mutu permainan."