Lionel Messi sentiasa mendapat sokongan rakan sepasukan yang sedia untuk terus berada di sampingnya, kata Paulo Dybala.

Messi terpaksa mengharungi permulaan sukar kepada kempen Piala Dunia Russia apabila sepakan penaltinya diselamatkan sambil pasukan kendalian Jorge Sampaoli itu dikejutkan dengan keputusan seri 1-1 oleh Ireland dalam perlawanan pembukaan mereka.

Sambil pemain berusia 30 tahun itu berharap untuk bangkit apabila Argentina berdepan Croatia, Khamis ini, Dybala berkata bintang Barcelona itu mendapat banyak sokongan daripada rakan-rakan sepasukannya.

“Jelas sekali kami semua memberi sokongan kepadanya, tidak perlu untuk mengingatkan itu,” katanya.

"Kegagalan menyumbat satu sepakan penalti tidak bermakna apa-apa kerana dia adalah yang pertama mahu menebusnya dan dia juga tahu dia boleh berharap kepada kami lebih lagi daripada sebelum ini.

"Kami berada di sini untuk membantunya apa kala dia memerlukan kami, mengambil kesempatan daripadanya dalam setiap perlawanan dan akan sentiasa berada di sampingnya. Ini tidak akan berubah,” tambahnya.

Messi melakukan 11 percubaan sepanjang perlawanan dengan Iceland itu tapi gagal memimpin Argentina mencapai kemenangan.

Pemain pertahanan, Cristian Ansaldi, turut menyuarakan sokongan buat Messi untuk bangkit menebus dirinya sambil mengatakan penyerang itu tahu bagaimana untuk menangani kekecewaan lalunya.

“Tentunya kita semua tahu betapa pentingnya Messi bukan hanya buat kami tetapi juga 45 juta rakyat di Argentina," katanya.

"Kita semua tahu betapa bersemangatnya dia. Syukurlah dia adalah yang terbaik di dalam dan di luar padang.

“Dia tahu bagaimana untuk menangani keadaan ini (terlepas sepakan penalti) dan itulah cara bagaimana dia mengekalkan tahapnya selama bertahun-tahun ini dan memecahkan semua rekod.

"Jelas sekali dia hampa dengan kegagalan menyumbat penalti itu sebagai seorang profesional.

"Tapi ini adalah bola sepak dan kami harus berterima kasih kepadanya kerana gol-golnya membantu kami untuk berada di sini dan melayari impian ini,” kata Ansaldi lagi.