Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, percaya pemain bintangnya, Lionel Messi, sedang berkembang dalam suasana terkini pasukan juara Copa America 2021 itu.

Messi dikritik hebat berdasarkan aksi terdahulunya bersama Argentina, yang dilihat amat berbeza berbanding prestasinya di peringkat kelab, khususnya ketika bersama Barcelona sebelum tahun 2021, di mana dia memenangi 35 trofi dan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab LaLiga itu.

Pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu akhirnya berhasil memacu Argentina menamatkan kemarau trofi selama 28 tahun ketika menewaskan Brazil dalam final Copa America pada Julai lalu dan pasukan bimbingan Scaloni berkenaan kini berada di landasan terbaik untuk layak ke Piala Dunia 2022 dengan tidak tewas sepanjang 10 perlawanan.

"Ia amat sukar (untuk katakan Messi) tidak beraksi baik bersama skuad kebangsaan," kata Scaloni dalam sidang media menjelang perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Peru pagi esok.

"Terdapat momennya dan terdapat momen sepasukan dan saya fikir itu adalah perkara terpenting pada akhirnya."

Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Messi -- yang mengatasi rekod legenda Brazil, Pele, selaku pemegang rekod penjaring terbanyak bagi sebuah pasukan Amerika Selatan dalam waktu rehat antarabangsa sebelum ini -- menjaringkan gol peringkat antarabangsanya yang ke-80 ketika Argentina menewaskan Uruguay 3-0 pada hujung minggu lalu.

Mengulas lanjut, Scaloni menambah: "Pasukan ini merupakan satu pasukan yang membawa situasi ke depan, yang membuatnya menjadi lebih bagus.

"Saya fikir dia amat bagus dalam pasukan ini dan selesa dengan rakan sepasukannya.

"Semua faktor ini menjadikan dia lebih bagus.

"Amat jelas bahawa tanpa pasukan ini, prestasinya tidak akan kelihatan.

"Hari ini, kami melakukannya dengan amat baik sebagai satu kumpulan, sebagai satu pasukan dan itulah perkara utama," katanya lagi.