Messi samai rekod jaringan kelab tunggal milik Pele

Muzaffar Musa
Disember 20, 2020 03:04 MYT
Lionel Messi menyamai rekod jaringan bersama kelab tunggal milik Pele selepas menjaringkan golnya yang ke-643 buat Barcelona ketika menentang Valencia malam tadi.
Legenda Brazil, Pele, yang diiktiraf sebagai pemain terbaik pernah dilihat dalam sukan itu, telah menjaringkan 643 gol sepanjang 656 penampilannya bersama Santos dari 1956 hingga 1974.
Walaupun jumlah keseluruhan gol yang dijaringkan Pele sepanjang kariernya menjadi pertikaian, dia masih menjaringkan 643 gol dalam perlawanan rasmi Santos.
Ada yang mendakwa rekod jaringan Pele merupakan rekod dunia dalam bola sepak peringkat tertinggi tetapi ahli statistik tidak dapat mengesahkan perkara itu berdasarkan beberapa perkara yang tiada kepastian.
Walaupun demikian, ia langsung tidak menjejaskan pencapaian Messi, yang menyamai rekod Pele selepas menanduk masuk gol pada penghujung babak pertama ke atas Valencia malam tadi.

? ????? ? Leo #Messi equals @Pele as the all time top goalscorer for one club WITH 643 goals! ? ?: @damiendraws pic.twitter.com/dNrlmwdfC7

— FC Barcelona (@FCBarcelona) December 19, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Biarpun sepakan penalti awalnya diselamatkan Jaume Domenech, Messi memperoleh gol bersejarahnya itu apabila menanduk masuk bola hantaran lintang dari jarak dekat.
Lebih menarik, jaringan terbarunya itu merupakan golnya yang ke-450 dalam saingan LaLiga, sekali gus menjadikannya pemain pertama mencapai angka itu bersama kelab tunggal dalam lima liga utama Eropah.
Jaringan bersejarah itu juga merupakan gol keenamnya daripada 13 perlawanan LaLiga musim 2020-21.
Pemain berusia 33 tahun itu merekodkan gol LaLiga pertamanya bersama Barca ketika menentang Albacete pada 1 Mei 2005 untuk menjadi pemain termuda menjaringkan gol buat kelab itu pada usia 17 tahun.
Sejak daripada itu, dia berkembang menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman Barca, juga dalam LaLiga, selain memenangi enam Anugerah Ballon d'Or.
#Barcelona #Lionel Messi #Santos #LaLiga #Pele