Bintang Argentina, Lionel Messi, melakar satu lagi sejarah baru, mengatasi rekod penjaring gol terbanyak bagi negara Amerika Selatan yang dipegang oleh Pele sebentar tadi.

Messi menjaringkan gol yang ke-78 di peringkat antarabangsa buat Argentina dalam aksi kelayakan Piala Dunia berdepan Bolivia, mengatasi rekod yang dipegang legenda Brazil, Pele.

Pemenang Ballon d'Or enam kali, Messi mengatasi Pele dengan jaringan pembukaan sebelum memahat nama dalam sejarah apabila melengkapkan jaringan kedua.

Messi mempamerkan saat penuh ajaib pada minit ke-14, memintas pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan mengatasi penjaga gol lawan di Buenos Aires, di mana pemain berusia 34 tahun itu kemudian mencipta sejarah pada minit ke-64 apabila membantu pasukan mendahului 2-0.

Perlawanan itu dilengkapkan Messi dengan hatrik pada minit ke-88 sekaligus memastikan kemenangan 3-0 buat Argentina.


Ini bukan kali pertama Messi mengatasi Pele, selepas melepaskan ikon Santos itu dengan 644 gol di peringkat kelab bersama Barcelona Disember lalu.