Thiago Silva malabelkan Lionel Messi sebagai pemain terbaik sepanjang zaman menjelang pertemuan separuh akhir Copa America 2019 di antara Brazil dan Argentina.

Messi dikritik hebat selepas melalui prestasi suram dalam kejohanan itu walaupun Argentina melangkah ke kelompok empat terakhir dan bakal berdepan seteru berkenaan di Belo Horizonte, Selasa ini.

Silva berkata tiada keraguan mengenai bintang Barcelona tersebut dan pemenang Ballon d'Or itu berhak memegang status pemain terbaik sepanjang zaman.

"Bagi saya, Messi adalah pemain terbaik dalam sejarah, pemain terhebat pernah saya saksikan," katanya.

"Namun, kini ia tentang Brazil dan Argentina. Kami akan melupakannya dan memikirkannya di lain waktu."

Brazil melalui kesukaran selaku tuan rumah, diejek berulang kali oleh penyokong sendiri dan memerlukan penentuan sepakan penalti untuk melepasi halangan Paraguay dalam suku akhir. Kini, mereka bakal berdepan Messi dan rakan sepasukan berbekalkan keyakinan setelah meraih kemenangan berturut-turut.

Tatkala Messi hanya menyumbat satu gol dalam empat perlawanan dalam saingan kali ini, Silva memuji kemampuan penggempur itu untuk mencipta keajaiban.

"Setiap kali kami berdepan, tidak kira sewaktu tugasan antarabangsa atau saingan Liga Juara-Juara Eropah, sukar untuk mengawalnya," tambah bek Paris Saint-Germain (PSG) itu.

"Tidak kira bagaimana anda mengkaji, anda tidak akan faham kualiti yang dia miliki serta perbezaan yang dapat diberikan.

"Dalam sesetengah waktu, dia mencipta sesuatu yang tidak dapat anda bayangkan. Itu perbezaannya.

"Sebagai bek tengah, anda perlu mengenal pasti setiap kemungkinan. Kami tahu dia sentiasa menghala ke kiri tetapi dia ada juga bergerak ke sebelah kanan."