Messi pemain Barca paling berjaya dengan gelaran ke-33

Penulis Jemputan
Ogos 13, 2018 00:00 MYT
SEVILLA 1 BARCELONA 2
Lionel Messi berdiri sendiri sebagai pemain paling berjaya dalam sejarah Barcelona selepas meraih kejayaan Supercopa de Espana, awal pagi tadi.
Kapten baru dan pemenang lima kali Ballon d'Or, Messi, meraikan gelarannya yang ke-33 apabila juara LaLiga, Barca, mengatasi pesaing Sepanyol, Sevilla, 2-1 di Tangier.
Messi mara mendahului legenda kelab, Andres Iniesta -- pemain yang digantikannya sebagai kapten selepas perpindahannya ke kelab Jepun, Vissel Kobe -- untuk tampil pemenang trofi paling banyak di Camp Nou.
Bintang berusia 31 tahun itu sudah memenangi sembilan kejuaraan LaLiga, empat mahkota Liga Juara-Juara Eropah, enam Copa del Rey, lapan Supercopa serta tiga Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA sejak membuat penampilan pertama pada 2005.
Messi dan Barca akan kembali beraksi menentang Boca Juniors dalam final Trofi Joan Gamper, Khamis ini, sebelum memulakan misi mempertahankan gelaran LaLiga dengan berkunjung ke laman Alaves pada Ahad ini.