Lionel Messi juga 'manusia biasa' dan memerlukan sokongan daripada rakan sepasukannya di Barcelona untuk berjaya, kata bekas rakan sepasukannya, Dani Alves.

Messi berang selepas Barca tewas 1-2 kepada Osasuna di laman sendiri Khamis lalu dan Real Madrid pula menewaskan Villarreal 2-1 untuk mengesahkan kejuaraan LaLiga musim ini.

Bintang Argentina itu memberikan amaran kepada Barca bahawa mereka akan tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di tangan Napoli seandainya mereka tidak memperbaiki prestasi sambil mendakwa penyokong pasukan itu sudah mula hilang sabar.

Dani Alves berasakan Messi lebih mengetahui apa yang sedang berlaku dalam pasukannya selepas menikmati tempoh 16 tahun penuh gemilang di Camp Nou.

"Leo sememangnya seorang pemenang sejati," kata pemain berbangsa Brazil itu kepada Radio Catalunya.

"Dia tidak gemarkan kekalahan. Apabila pasukannya kalah, adalah normal untuk dia berasa marah.

"Dia sentiasa mahu menang. Sama seperti saya. Kami sentiasa mahu menang.

"Dia sudah melakukan apa yang sepatutnya sejak sekian lama, dia sedar setiap apa yang diberikan oleh pasukan.

"Sebab itu dia boleh katakan apa yang akan berhasil dan apa yang tidak.

"Dia menghabiskan bertahun-tahun di Barca, dia berpengalaman dalam banyak perkara dan dia tahu apa yang perlu dimenangi oleh pasukannya.

"Dia melihat apa yang saya rasakan dan ia adalah kekurangan sokongan.

"Saya selalu katakan bahawa Messi adalah hidangan utama dan kami pula adalah ramuan yang sempurna.

"Kini saya dapat rasakan yang dia melakukan semua perkara pada setiap masa dan kita perlu ingat bahawa dia juga manusia biasa," katanya.

Dani Alves memenangi 23 kejuaraan utama bersama Messi, termasuk enam gelaran liga dan tiga kejuaraan UCL sepanjang kariernya di Barca.

Kini, pertahanan saya Sao Paulo itu berasakan skuad kendalian Quique Setien berkenaan adalah pasukan berbeza yang tiada kualiti pemain bintang seperti sebelumnya.

"Apa yang Barca tiada ketika ini adalah identiti seperti dahulu seperti Barca Ronaldinho dan Barca kami.

"Identiti sebagai pasukan yang mendominasi sepanjang 90 minit, 100 minit, 150 minit.

"Barca berada di sana untuk dinikmati penonton.

"Apa yang saya lihat sebagai orang luar sekarang adalah Barca sudah menjadi pasukan lain.

"Mereka sepatutnya mempunyai persefahaman untuk melalui setiap perkara dan membuatnya kelihatan mudah," katanya lagi.