Lionel Messi gembira memenangi anugerah Pemain Terbaik FIFA dan fokus bintang itu kini ialah membantu Barcelona bangkit daripada permulaan suram musim ini.

Messi meraih gelaran itu buat kali pertama sejak dijenamakan semula pada 2016, mengatasi pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk, dan bintang Juventus, Cristiano Ronaldo.

Ia merupakan kejayaan individu pertamanya sejak meraih Ballon d'Or buat kali kelima pada 2015 dan pemain berusia 32 tahun itu berbesar hati menerima anugerah itu.

"Sudah lama saya tidak memenangi anugerah individu," katanya.

"Ia adalah anugerah yang saya raih buat kali pertama dan bagus untuk menerimanya."

Messi kini masih dalam proses untuk kembali beraksi daripada kecederaan betis sejak permulaan musim 2019-20, menyebabkannya hanya beraksi dalam satu perlawanan LaLiga.

Dalam tempoh itu, Barca melalui permulaan terburuk dalam tempoh 25 tahun selepas hanya mengutip tujuh mata daripada lima perlawanan.

Menjelang pertemuan dengan Villareal dan Getafe, minggu ini, Messi tidak sabar untuk melihat kebangkitan skuad kendalian Ernesto Valverde itu.

"Kami bermula buruk dan bergelut untuk beraksi serta mencipta peluang. Ia hanya permulaan tetapi kami harus bangkit," tambahnya.

"Masih ada masa untuk kami perbaiki kelemahan dan kami sedar tentangnya. Ia melibatkan seluruh pasukan.

"Saya yakin kami akan meningkat."