Lionel Messi mendapat restu daripada ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, untuk mewakili Argentina dalam pusingan kelayakan Piala Dunia bulan depan.

Pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu masih belum beraksi buat PSG sejak menyertai pasukan itu daripada Barcelona pada 10 Ogos lalu -- masih belum mendapatkan kecergasan terbaik selepas memenangi Copa America.

Bagaimanapun, Messi sudah mula mengambil bahagian dalam sesi latihan sepanjang minggu ini dan Pochettino, selepas pasukannya menewaskan Brest 4-2 semalam, mengesahkan pemain bintang itu akan melakukan penampilan Ligue 1 pertamanya dalam perlawanan menentang Reims minggu depan.

Ia merupakan perlawanan terakhir PSG sebelum waktu rehat antarabangsa dan Pochettino tiada sebarang kegusaran mengenai penyerang barunya itu seandainya dipilih untuk mewakili Argentina.

"Saya masih belum bercakap dengan wakil pasukan kebangsaan," kata Pochettino kepada ESPN Argentina.

"Tetapi mereka tahu saya profesional dalam aspek pemilihan dan kami bukan hanya mahu membantu Argentina, kami mahu membantu semua negara yang melibatkan pemain kami," katanya.