Lionel Messi menegaskan dia masih belum berputus asa dengan impian menjuarai Piala Dunia di sebalik kekalahan dalam aksi final edisi 2014.

Bintang Barcelona itu telah diberikan Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan di Brazil lima tahun lalu selepas menjadi inspirasi pasukan melangkah ke final untuk berdepan Jerman.

Bagaimanapun, hadiah utama gagal digapai Messi dan Argentina di Stadium Maracana selepas jaringan tunggal Mario Gotze dalam masa tambahan memastikan kemenangan buat skuad kendalian Joachim Low itu.

Argentina sekali lagi tewas kepada juara edisi seterusnya, dengan Perancis meraih kemenangan 4-3 dalam pusingan 16 sebelum muncul juara dunia di Russia.

Bagaimanapun, Messi belum bercadang untuk berputus asa terhadap impiannya di pentas tertinggi bola sepak antarabangsa walaupun mencecah usia 35 tahun dalam edisi yang bakal dianjurkan di Qatar pada 2022.

"Hanya tuhan menentukan kejayaan kami," kata Messi. "Ia akan menjadi kejayaan yang terbesar. Impian terbesar saya yang masih belum tercapai.

"Kami sangat hampir dengan kejuaraan lima tahun lalu, namun gagal menjulangnya.

"Kami memiliki barisan terbaik pada ketika itu, kami telah berusaha sebaik mungkin, namun bolos pada penghujung permainan."

Messi berkata anak-anaknya, Thiago dan Mateo, sudah mula menyaksikan dia beraksi untuk Argentina atau Barca.

Bagaimanapun, Mateo kelihatan gembira mengusik ayahnya ketika tewas kepada Liverpool dan Valencia dalam Liga Juara-Juara dan Copa del Rey bulan lalu -- serta menunjukkan sokongannya terhadap Real Madrid.

"Thiago tidak pernah terlepas sebarang perlawanan. Mateo gemarkan bola sepak, dia menyarung semua jersi.

"Mateo selalu berkata kepada saya, 'saya sokong Liverpool, yang menewaskan kamu'; 'Valencia menang ya, -- saya sokong Valencia'.

"Dia juga selalu meraikan jaringan Real Madrid untuk mengusik abangnya. Dia juga merupakan penyokong Real."

Messi mengakui sukar untuk meninggalkan keluarganya untuk menyertai skuad kebangsaan dan berkata, "Sukar untuk saya setiap kali terpaksa meninggalkan mereka untuk menyertai skuad kebangsaan."