BARCELONA 6 SEVILLA 1
(Barca mara dengan agregat 6-3)

Lionel Messi menegaskan Barcelona tidak harus mengetepikan cabaran Copa del Rey selepas mencatat kemenangan ke atas Sevilla, awal pagi tadi.


Pendahulu LaLiga itu memalukan Sevilla 6-1 dalam aksi di Camp Nou itu untuk meraih kemenangan agregat 6-3 di peringkat suku akhir yang menyaksikan Philippe Coutinho menyumbat dua gol manakala Ivan Rakitic, Sergi Roberto, Luis Suarez dan Messi turut mencetak nama selaku penjaring.

Messi, 31, meredakan sebarang tanggapan bahawa Barca akan menyerah kalah dalam Copa de Rey demi memberi tumpuan kepada kempen LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL).

"Kami dikatakan mahu melupakan Copa de Rey mahupun tidak berhajat untuk memenanginya, atau mungkin juga mesej saya pada awal musim ini telah disalah tafsir," katanya kepada TV Barca.

"Pasukan ini mahu berjuang untuk merebut ketiga-tiga kejuaraan itu kerana ia adalah kewajiban Barcelona setiap tahun.

"Kami tidak melepaskan sebarang peluang meraih kejuaraan."

Coutinho, yang kembali membarisi kesebelasan Barca, menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-13 setelah pemain Brazil itu -- prestasinya dalam keraguan -- diberi peluang oleh Messi.

Messi menjelaskan keputusannya untuk membenarkan pemain berusia 26 tahun itu untuk melengkapkan dua jaringannya dalam babak kedua dengan berkata: "Saya mahu dia menyepaknya dan kami membetulkan keadaannya kerana perkara paling mustahak adalah mencapai kemenangan.

"Dia menjaringkan gol dan saya gembira kerana di sinilah semuanya bermula."