Bekas pemain Barcelona, Luis Garcia, optimis Lionel Messi tidak akan berhijrah untuk menyertai mana-mana pasukan dan bakal bersara sebagai pemain di Nou Camp.

Messi merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman buat The Catalans di samping menjadi tonggak utama pasukan, tetapi masa depan Messi kini menjadi tanda tanya apabila kontraknya bakal berakhir pada 2018.

Kelab telah menegaskan bahawa Messi akan menerima tawaran lanjutan kontrak untuk terus menyarung jersi Barca yang disertainya sejak berusia 13 tahun.

Bekas pemain Barcelona dan Liverpool, Garcia, menyifatkan Messi tidak akan mengambil keputusan untuk meninggalkan kelab itu, sebaliknya dia akan meneruskan bermain sehingga penghujung kariernya di Nou Camp.

"Saya tidak berasakan Messi akan berhijrah. Saya berpendapat dia gembira bersama Barcelona.

"Kelab juga menyedari kepentingannya untuk pasukan. Dia telah banyak mencipta kejayaan Barca. Saya percaya dia akan bersara di sana."

Tanggal 24 Jun 2017 merupakan hari lahir Messi yang ke-30 dan dia tidak menunjukkan sebarang penurunan dalam prestasinya -- kekal sebagai penggerak utama kejayaan Barca.

Sejak membuat penampilan sulung pada Oktober 2004 pada usia 17 tahun, Messi telah memacu kecemerlangan The Catalans dengan 29 trofi, termasuk lapan gelaran LaLiga dan
empat trofi Liga Juara-Juara (UCL).

Dia telah menjaringkan 507 gol dalam semua pertandingan -- 349 daipadanya dalam saingan LaLiga.

"Dia membuatkan bola sepak seperti sesuatu yang mudah. Melakukan sesuatu perkara yang sukar dengan cara yang paling mudah. Ia hanya dilihat mudah apabila Messi melakukannya.

"Messi mampu melakukan segala-galanya, menggelecek, melakukan hantaran dan menjaringkan gol. Tiada apa yang sukar buat dirinya."