Tamat sudah hajat Croatia untuk mara ke perlawanan akhir Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut -- kecundang di tangan pemain terbaik dunia yang membara dengan hasrat memburu satu-satunya trofi yang tidak pernah dijulang.

Tidak kiralah saluran berita atau akhbar mana sekalipun yang dibaca sejak awal pagi tadi, tiada satu pun yang menyebut tentang runtuhnya benteng pertahanan kebal yang Croatia bina.

Tiada juga yang menyentuh tentang kegagalan Croatia untuk bangkit setelah ketinggalan selepas kira-kira setengah jam mempamerkan penguasaan.

Kesemuanya hanya berbicara tentang satu nama -- Lionel Messi.



15 tahun lamanya telah berlalu sejak Messi menjaringkan gol paling masyhur miliknya sewaktu menentang pasukan Getafe.

Gelecekannya dari bahagian tengah padang menerobos bahagian sayap kanan, melepasi lima pemain yang cuba bertahan sebelum akhirnya dengan mudah menewaskan penjaga gol.

Imbasan adegan gol berkenaan semestinya terlintas di minda kesemua penyokong Messi, sejenak sebelum gol ketiga Argentina dijaringkan.

Pada minit ke-68, Messi menemui ruang untuk menggelecek di bahagian sayap kanan kegemarannya sebelum pantas dihambat oleh pemain yang disebut-sebut sebagai pemain pertahanan terbaik sepanjang Piala Dunia kali ini, Josep Gvardiol.

Messi sudah berusia 35 tahun, tidak lagi sepantas zaman mudanya manakala Gvardiol pula 14 tahun lebih muda daripada Messi setangkas usia 21 tahun.

Namun, pada akhirnya semua itu hanyalah angka semata-mata, tidak lebih daripada itu.

Messi menggelecek melepasi Gvardiol bukan hanya sekali, bukan dua kali, malah tiga kali -- pemain pertahanan terbaik seumpamanya terkesima dan tidak mampu berbuat apa-apa.

Cuma bezanya adegan awal pagi tadi dengan 15 tahun lalu adalah Messi memilih untuk melorongkan bola kepada Julian Alvarez yang turut sama cemerlang dalam perlawanan tersebut, bagi membolehkan dia menjaringkan gol kedua peribadi miliknya.

Messi yang dahulunya dikatakan tidak mampu menemui gol ketika paling diperlukan, kini telah menjaringkan sebanyak lima gol dalam kejohanan ini.

Ia meletakkannya sebaris dengan Kylian Mbappe sebagai penjaring terbanyak, serta turut menobatkan dirinya sebagai penjaring tertinggi dalam sejarah Argentina, mengatasi rekod yang dahulunya dipegang oleh Gabriel Batistuta.



Sejak kali pertama Messi menyertai Piala Dunia, 16 tahun dahulu, dia dibayangi oleh tokoh-tokoh lebih senior dalam aspek mengetuai pasukan -- Juan Roman Riquelme pada tahun 2006 dan Javier Mascherano pada tahun 2010.

Pada tahun 2014, Messi telah dinobatkan sebagai kapten pasukan tetapi kesemua pemain ketika itu masih lagi menoleh terhadap Mascherano untuk tunjuk ajar atas dasar pengalaman luas yang dia miliki.

Pada tahun 2018, kelibat Mascherano sudah tiada tetapi Messi masih belum memiliki wibawa yang diperlukan untuk memimpin secara berkesan.

Kini tiba masanya, bukan sahaja segala ciri kepimpinan yang diperlukan telah sebati dalam diri, malah kesemua pemain lain telah membuktikan yang mereka rela menyerahkan segala-galanya agar kapten mereka itu dapat merealisasikan impian dalam peluang terakhir.

Hanya tinggal satu halangan yang harus diatasi kini.

Sama ada Perancis atau Maghribi, apa yang pasti adalah Piala Dunia tidak akan dilepaskan dengan mudah oleh Messi mahupun seluruh negara Argentina, tidak kira yang berada di atas padang ataupun tidak.