Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, mengkritik corak bertahan dipamerkan Selangor selepas kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat seri tanpa jaringan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

JDT berpeluang di depan apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti, namun gagal disempurnakan Brian Ferreira pada babak pertama tetapi Mora berpandangan pemain itu tidak bernasib baik.

"Inilah bola sepak, kita cuma manusia biasa, Brian beraksi dengan baik tetapi nasib tidak memihaknya ketika mengambil penalti tersebut," katanya.

Mora, bagaimanapun, mengakui kegagalan anak buahnya untuk memecah kebuntuan sepanjang perlawanan adalah disebabkan Selangor yang lebih gemar bertahan.

"Pihak lawan turun dengan corak bertahan, mereka enggan bermain, sebaliknya bertahan dengan kesemua 11 pemain.

"Mereka seperti meraikan kejayaan meskipun sekadar meraih satu mata," tambahnya.

Pengendali kelahiran Mexico itu turut mempersoalkan tindakan Selangor yang tidak cuba mencipta impak.

"Pada saya, sukar untuk melakar jaringan apabila pihak lawan bertahan dengan 11 pemain. Mereka langsung tidak cuba untuk mencipta impak atau idea untuk menyerang, sebaliknya hanya cuba untuk bertahan," tambahnya.

Sementara itu, di kem Selangor, ketua jurulatih, P. Maniam, memuji disiplin dipamerkan anak buahnya, terutama dalam aspek pertahanan, apatah lagi selepas kecewa 5-3 berdepan PKNS FC sebelum ini.

"Boleh lihat terdapat banyak perubahan malam ini (semalam) berbanding ketika berdepan PKNS FC minggu lalu. JDT sebuah pasukan yang lebih tersusun tetapi kami berjaya mengekang pergerakan mereka.

"Saya sangat gembira dengan prestasi pemain. Saya berharap pemain dapat meneruskan mentaliti ini bukan sahaja dalam menjaringkan gol tetapi juga ketika bertahan," jelasnya.