Ben Chilwell mengalami "kepenatan mental" berikutan kekecewaan peribadinya kerana tidak dapat memainkan sebarang peranan buat England dalam kempen Euro 2020 dan perlu bersabar jika mahu mendapatkan minit permainan, kata pengurus Chelsea, Thomas Tuchel.

Chilwell memainkan peranan penting buat The Blues ketika muncul juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menewaskan Manchester City musim lalu selepas menjadi pilihan utama di Chelsea sejak Tuchel menggantikan Frank Lampard awal tahun ini.

Bagaimanapun, kemenangan di Lisbon itu ternyata menjadi aksi kompetitif terakhir pertahanan sayap berkenaan, di mana Gareth Southgate tidak pernah menurunkannya sepanjang laluan England ke final Euro 2020 dan Marcos Alonso pula dipilih untuk membarisi perlawanan Piala Super Eropah dan empat aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) buat Chelsea musim ini.

Pengurus The Blues, Tuchel, berkata prestasi Alonso pada awal musim ini telah menjadikan situasi Chilwell semakin sukar tetapi dia yakin pemain itu akan bangkit menjadi lebih baik.

"Ia menjadi waktu sukar buatnya. Ia agak normal, dia bermain ketika memenangi UCL dengan beraksi selama 90 minit dan mempamerkan prestasi yang hebat untuk menamatkan musim di tahap tertinggi," kata Tuchel menjelang pembukaan misi mempertahankan gelaran UCL dengan menentang Zenit awal pagi esok.

"Kemudian, ia secara peribadi menjadi kempen Euro yang sukar buatnya, di mana dia menyangka akan dapat bermain. Secara peribadi, saya tahu bertapa sukarnya perkara itu. Anda akan rasakannya jika anda melakukan segala-galanya untuk mendorong pasukan, anda tidak akan rasakannya jika anda tidak mengeluarkan keringat dan menyarung jersi pasukan.

"Kemudian, dia teruskan berlatih selama empat atau lima minggu secara berterusan, kemudian dia berehat, agak sukar untuk bertenang dan melepaskan bebanan kekecewaan itu daripada bahunya.

"Apabila dia pulang ke sini, saya berasakan dia keletihan secara mental, sedikit menggusarkan mengenai situasi itu. Pada masa yang sama, dia perlu menerima bahawa dia tidak bernasib baik pada permulaan musim ini kerana Marcos berada di sini sepanjang pramusim, melakukannya dengan baik dalam setiap sesi dan mengambil peluang dengan sikap yang amat-amat baik. Dia amat penting buat kami dan berhasil menyelesaikan situasi Chilly.

"Dia (Chilwell) perlu bersabar, terus berlatih, saya perlu memberikannya masa untuk bersabar dengan dirinya bagi menikmati semula permainannya dan berasa lebih selesa di atas padang, bukan dengan terlalu memaksa. Ini perkara yang kami semua tahu.

"Malangnya, kami cuma ada tiga pertukaran dalam tiga perlawanan terakhir, jika tidak, dia pasti akan mendapatkan beberapa minit permainan," katanya.