Benjamin Mendy mahu Manchester City meraih keuntungan daripada "Mendy yang sebenar" bermula sekarang hingga hujung musim ini.

Bek kiri dari Perancis itu berpindah ke Stadium Etihad daripada Monaco dengan harga £52 juta (RM276.1j) pada 2017 tetapi dua musim pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dibelenggu masalah lutut.

Dia melalui jalan yang panjang untuk kembali cergas dan pemain berusia 25 tahun itu untuk mula membuktikan kemampuan sebenarnya sejak dianggap sebagai salah seorang pemain paling menarik di posisi berkenaan di Eropah ketika mewakili Monaco apabila merangkul gelaran Ligue 1 2016-17.

Prestasinya yang meyakinkan itu tatkala City meneruskan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 3-0 ke atas Arsenal minggu lalu menerima pujian daripada Pep Guardiola.

Sehubungan itu, menjelang perlawanan berdepan Chelsea di Stamford Bridge awal pagi esok, Mendy yakin bahawa mampu menonjolkan aksi yang lebih baik.

"Inilah masanya untuk saya," katanya.

"Tindakan Manchester City, kakitangan, rakan sepasukan banyak membantu dan mendorong saya, jadi saya mahu memberikan mereka Mendy yang sebenar.

"Di dalam hati ini, saya tahu cara saya bekerja. Tempoh pemulihan di hospital adalah sukar. Inilah kehidupan. Orang tidak melihat semua itu. Ia bukannya mudah.

"Walaupun dalam perlawanan pertama sebaik anda kembali, prestasi anda dijangka berada di puncak kerana orang menonton perlawanan atas dasar itu.

"Mereka tiada masa untuk mengatakan bahawa seseorang pemain itu tercedera. Mereka mahukan persembahan yang baik dan saya memahami.

"Ia memberikan saya lebih banyak motivasi untuk bekerja keras. Ketika ini saya berasakan berada dalam detik yang terbaik di Manchester City."




Peluang penangguhan musim ini akibat wabak COVID-19 juga digunakannya dengan bijak.

Dedikasi seperti itu pasti disedari Guardiola yang mempersoalkan fokus Mendy pada awal musim lalu kerana dilaporkan terlambat menghadiri latihan gara-gara menonton pertarungan tinju merebut kejuaraan heavyweight di antara Anthony Joshua dan Alexander Povetkin di Stadium Wembley.

Pertahanan tersebut berhasrat untuk membalas kepercayaan pengurus itu memandangkan mereka masih dalam saingan Piala FA dan Liga Juara-Juara (UCL), dia mengidam untuk mengukuhkan posisinya dengan menghadiahkan trofi buat The Citizens.

"Apabila Pep mengatakan bahawa dia merindui saya, ia menggembirakan saya. Ini adalah sesuatu yang sangat baik dan ia membuatkan saya tersentuh," tambahnya.

"Saya ingin membuktikan kepadanya, saya rasa dia tahu malah saya ingin menunjukkan kepada Manchester City dan dunia.

"Manchester City menjadi fokus utama kerana ini adalah pasukan saya dan saya sayangkan pasukan ini. Saya akan mencurahkan segalanya buat mereka kerana mereka sememangnya berhak atas apa yang diusahakan selama dua tahun ini selain ingin memenangi piala dan gelaran.

"Saya telah beraksi dalam beberapa perlawanan tetapi secara jujurnya, ketika menang saya tidak berasa seperti itu. Saya gembira tetapi saya tidak berasakannya. Saya mahu bersaing dan mengatakan bahawa saya boleh membantu pasukan memenangi trofi."