Benjamin Mendy kembali turun berlatih bersama rakan sepasukannya di Manchester City -- kurang daripada enam bulan berikutan ligamen lutut yang terkoyak.

Pertahanan kiri Perancis itu membuat permulaan mengagumkan di Stadium Etihad susulan perpindahan dari AS Monaco yang bernilai £52 juta (RM281.2j), Julai lalu.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan berikutan terjahan daripada Andros Townsend ketika City menang 5-0 ke atas Crystal Palace, lalu menimbulkan tanda tanya terhadap penampilannya musim ini dan kempen Piala Dunia bersama Perancis.

Dalam wawancara di laman sesawang rasmi City minggu lepas, Mendy menyasarkan pertemuan 'derby' menentang Manchester United pada 7 April ini sambil kelibatnya bersama skuad Pep Guardiola dapat dilihat semalam.

City menjulang Piala Liga Inggeris menerusi kemenangan 3-0 ke atas Arsenal di Wembley dengan Mendy memimpin perayaan itu manakala pendahulu Liga Perdana itu hampir pasti akan meraih gelaran liga.

Mendy masih berpeluang untuk memberi impak dalam kempen Liga Juara-Juara ekoran The Citizens selesa dengan kelebihan agregat 4-0 ke atas Basel bagi pertemuan kedua pusingan 16, awal pagi Khamis nanti.

Pemain sayap, Raheem Sterling, juga kembali berlatih setelah terlepas tiga perlawanan terakhir akibat masalah otot.