Mikel Arteta percaya kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Newcastle United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi merupakan persiapan terbaik sebelum menghadapi Villarreal dalam separuh akhir kedua Liga Europa awal pagi Jumaat ini.

The Gunners tewas 1-2 dalam perlawanan pertama di Sepanyol minggu lalu tetapi mereka kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan pasukan kendalian Steve Bruce itu di St James' Park.

Jaringan pertama Mohamed Elneny sepanjang 66 penampilannya dalam EPL meletakkan mereka di depan seawal minit kelima sebelum Pierre-Emerick Aubameyang memastikan kemenangan keenam berturut-turut Arsenal ke atas The Magpies tanpa dibolosi sebarang gol.

Gol Aubameyang dalam bebek kedua turut menjadikannya sebagai pemain Arsenal pertama menjaringkan gol dalam lima perlawanan berturut-turut menentang satu lawan sama sejak Olivier Giroud melakukannya ke atas Aston Villa dari 2013 hingga 2016.

Satu-satunya berita buruk buat The Gunners adalah kecederaan paha yang menimpa David Luiz, di mana pemain Brazil itu mungkin terpaksa diketepikan sepanjang baki musim ini.

Arteta melakukan sembilan pertukaran berbanding pasukan yang tewas di Sepanyol minggu lalu dan amat gembira dengan aksi dominan pasukannya, di mana mereka melakukan 19 percubaan dan hanya membenarkan lawan menghasilkan satu percubaan tepat.

"Selain kecederaan David, kesemua inilah apa yang kami mahukan," kata Arteta dalam sidang media.

"Kami mahu pasukan ini kekal segar dan memilih pemain dengan sikap yang betul untuk bermain dalam perlawaan ini. Fokusnya adalah hari ini. Ia persembahan yang kuat sejak dari awal.

"Kami mendominasi permainan dan memenangi tiga mata, di mana ia amat diperlukan. Ia membantu kami untuk perlawanan Khamis (awal pagi Jumaat) ini juga," katanya.

Aubameyang kini telah menjaringkan gol dalam kesemua tiga penampilannya menentang Newcastle musim ini dan menjadi pemain Arsenal pertama menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berbeza menentang satu lawan sama dalam satu musim sejak Alexis Sanchez melakukannya ke atas Hull City dalam musim 2014-15.

Pemain kebangsaan Gabon itu, yang baru-baru ini diserang penyakit malaria, dimasukkan sebagai pemain gantian pada lima minit terakhir perlawanan menentang Villarreal di Sepanyol dan kembali membuktikan tahap kecergasan terbaiknya awal pagi tadi.

"Kami fikir dia tidak akan dapat melakukannya Khamis lalu. Dua hari sebelumnya, dia amat bergelut.

"Dia hanya dapat bermain selama 10 atau 15 minit.

"Sehari kemudian, dia mula berasa lebih baik. Amat bagus untuk melihatnya sihat hari ini. Dia menjaringkan gol, bermain baik, jadi ia melonjakkan semangat kami," tambahnya.