Memori diaibkan dengan dibelasah 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Dunia empat tahun lalu, menjadi azimat buat Harimau Malaya menjelang aksi kedua Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

Skuad bimbingan Dollah Salleh ketika itu dibelasah teruk ketika bertandang ke Abu Dhabi dalam pusingan kelayakan Piala Dunia Russia 2018.

Pertemuan kedua di Kuala Lumpur -- yang dikendalikan jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee -- juga gagal memadamkan keperitan itu biarpun sekadar tewas tipis 1-2.

Namun, dengan percaturan taktikalnya, ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, mengidamkan untuk melakar satu lagi sejarah bagi mengukuhkan kedudukan skuad negara selaku pendahulu Kumpulan G.

"Kalau ikut rekod pada 2015 itu, ia sesuatu yang agak sedih untuk pasukan negara.

"Tetapi seperti yang saya maklumkan sebelum ini, kita kena pandang ke depan.

"Selepas empat tahun, kita dengan jurulatih yang berbeza, pemain yang berbeza, jadi kita tidak boleh fikir tentang rekod tersebut.

"Sudah pasti ia satu pengajaran yang besar," katanya.

Daripada keseluruhan skuad yang membarisi kempen piala dunia 2018 itu, hanya dua pemain yang masih berada dalam skuad negara, iaitu Matthew Davies dan Nazirul Naim Che Hashim.

Davies , yang ketika itu hanya memanaskan bangku simpanan, yakin skuad kali ini mampu untuk mencabar UAE walaupun Negara Teluk itu miliki kelebihan daripada segi ranking (ke-65 dunia).

"Saya masih ingat. Ia sebenarnya panggilan skuad kebanggsaan pertama saya.

"Saya duduk di bangku simpanan dan menyaksikan perlawanan itu.

"Ia sememangnya satu bencana buat pasukan.

"Namun, kami kini adalah pasukan baru dengan keinginan dan semangat baru," katanya.