Segalanya terserah kepada jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan, sempena aksi terakhir pusingan pertama bertemu Kedah Darul Aman, Jumaat ini.

Kelab dari selatan itu tertekan apabila ditagih untuk mencetak kemenangan dalam dua sisa perlawanan sebelum pusingan pertama Liga Super berakhir.

Bagi pemain tengah, Syamim Yahya, peranan utama perlu hadir daripada Zainal sendiri biarpun yang akan mencorakkannya di atas padang adalah pemain sepanjang 90 minit perlawanan.

"Kedah setiap tahun tekal, antara pasukan yang kuat di Malaysia ini.

"Terpulang kepada Zainal untuk memikirkan taktikal melawan Kedah, sebagai pemain kami akan ikut arahannya," kata Syamim.


Kenyataan Ketua Jurulatih Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan selepas aksi ke-10 Liga Super Malaysia 2021 menentang...

Posted by Melaka United Football Club on Monday, April 26, 2021



Dalam pada itu, penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, mengakui kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku dalam aksi terdahulu yang meletakkan Melaka dalam situasi terdesak.

Namun, kemenangan ke atas Perak kelmarin melonjakkan moral pemain yang perlu meneruskan kejutan ketika melayani kunjungan Lang Merah.

"Apa yang berlaku telah menghukum pasukan.

"Kami akan belajar daripada kesilapan yang tidak patut.

"Dalam Liga Super, kebarangkalian kemenangan menjurus kepada pasukan yang kurang melakukan kesilapan," kata bekas bintang Kelantan itu pula.