Melaka United yang diselubungi isu gaji memilih untuk bermain teka-teki mengenai barisan pemain musim depan menjelang pembukaan musim kali ini.

Pihak pengurusan masih mengambil pendekatan untuk mengunci mulut mengenai perkembangan pasukan itu tatkala kelab lain sudah hampir lengkap menjelang tarikh akhir pendaftaran pada 22 Januari ini.

Difahamkan, kelab dari selatan itu belum memperbaharui kontrak pemain musim lalu seramai 16 muka tempatan termasuk dua tonggak import, Sony Norde dan Adriano Narcizo, selain persiapan kelibat pengendali musim ini masih menjadi tanda tanya biarpun Zainal Abidin Hassan membawa pasukan ke separuh akhir Piala Malaysia 2021.

Dalam masa sama, beberapa pemain tempatan dan bintang import baru sudah diikat.





Bekas penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, yang berhijrah ke Sabah bagi musim 2022 turut menuntut baki gajinya di Melaka yang masih sangkut tiga bulan.

Malah, hingga ke saat ini pemain kebangsaan itu masih tertunggu-tunggu sebarang perkembangan terkini daripada pihak pengurusan yang nampaknya lebih selesa berdiam diri.

"Selepas perkara ini didedahkan, saya belum dapat apa-apa panggilan. Sesetengah pemain ada juga cuba mendapatkan perkembangan daripada pengurusan (Melaka).

"Setakat ini mereka hanya beritahu ia akan dibayar secepat mungkin," kata pemain kebangsaan itu.