Melaka United menuntut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggantung tugas pengadil, Mohd Fairuzi Mat Desa, kerana memberi sepakan penalti yang tidak sepatutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka, Datuk Saiful Mat Sapri, menegaskan tindakan drastik itu harus diambil bagi memastikan mutu pengadilan lebih berkualiti pada masa akan datang selepas pelawat hampir berputih mata di Stadium MBPJ untuk mengikat Petaling Jaya (PJ) City 2-2 pada masa kecederaan, malam tadi.

"Esok (hari ini), kami akan hantar surat dan e-mel kepada FAM (berkenaan) aduan tersebut beserta rakaman yang kami dapat.

"Saya minta pengadil ini digantung untuk tindakan selanjutnya supaya pengadil-pengadil dapat memberi keputusan yang lebih adil kepada kami.

"Sepatutnya perlawanan ini menyebelahi kami. Disebabkan pengadil tidak profesional, sebab itu kami kena (dibolosi gol untuk kedudukan 1-2)," katanya ketika dihubungi.




Fairuzi mengambil masa yang terlalu lama untuk memberi sepakan penalti buat pemain gantian PJ City, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri, susulan kekasaran ke atas tonggak tengah itu.

"Memang satu mata (lebih baik) daripada tiada mata (langsung). Gol penyamaan dijaringkan pada minit-minit akhir.

"Saya ucapkan tahniah kepada pemain walaupun (ditembusi) dengan gol kontroversi, tetapi mereka tidak putus asa mencari jaringan penyamaan.

"Ini yang saya ingin lihat dan mahu pemain lebih berdisiplin supaya kejadian ini tidak berlaku lagi," kata jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan.

Posted by Melaka United Soccer Association - MUSA on Thursday, March 11, 2021