KEDAH 1 MELAKA UNITED 3

Kedah Darul Aman tumbang 1-3 di tempat sendiri ketika melayani kunjungan Melaka United, sebentar tadi.


Melaka United meneruskan momentum kemenangan dalam Kumpulan C, Piala Malaysia itu walaupun pada awalnya tersentak dengan jaringan Kpah Sherman seawal minit ke-7.

Namun, ia hanya menyemarakkan kebangkitan anak buah Zainal Abidin Hassan itu dengan memperkemaskan permainan untuk mengikat kedudukan di pertengahan babak pertama dengan sentuhan pemusnah Sony Norde disusuli gerakan gol sepasukan yang menarik daripada Manny Ott pada minit ke-38.

Ott terus mempamerkan kredibilitinya sebagai peledak dan kali ini rembatan derasnya dari luar kotak penalti menghukum penjaga gol, Ifwat Akmal Che Kassim, buat kali ketiga pada minit ke-52 untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Sementara itu, satu gol lagi seawal minit ke-3 menjulang penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) -- juga melalui dari jarak jauh -- ketika berdepan Petaling Jaya (PJ) City di Stadium Sultan Ibrahim.

Percubaan daripada pemain import, Gonzalo Cabrera, menghadiahkan kemenangan tipis untuk melakar kejayaan kedua Kumpulan D meskipun memberi peluang pemain yang kurang minit permainan seperti Ahmad Hazwan Bakri.

Walaupun cuba menyusun asakan hingga wisel penamat, keputusan itu meletakkan PJ City di tangga ketiga dengan satu mata selepas seri dengan Sabah, Isnin lalu.




Kelab dari Borneo itu merakamkan aksi seri kedua berturut-turut apabila terikat 2-2 dengan Kelantan, petang tadi.

Sepakan penalti Risto Mitrevski untuk jaringan keduanya dalam permainan pada minit ke-80, 10 minit selepas Kelantan mendahului 2-1 memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.