Melaka United (MU) bakal menamatkan pencarian jurulatih baru selepas persetujuan dicapai di antara pihak Melaka dan bekas jurulatih T-Team, Eduardo Almeida.

Almeida akan menggantikan tempat pengendali sebelum ini, Eric Williams, yang ditamatkan kontrak selepas melalui kempen yang hambar dalam saingan Liga Super tahun ini.

Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata jika segala-galanya berjalan lancar, Almeida akan ke Melaka esok untuk perbincangan terakhir sebelum memulakan sesi latihan pertama bersama juara Liga Perdana 2016 itu.

"Saya dan Eduardo telah bersetuju, namun saya tetap mahukannya datang ke Melaka terlebih dahulu," kata Yusoff.

Yusoff juga menjelaskan pengalaman yang dimiliki Eduardo ketika bersama T-Team mampu membantu dirinya untuk lebih mudah menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak Malaysia.

"Dia pernah bersama T-Team, jadi sedikit-sebanyak dia sudah memahami keadaan bola sepak di Malaysia," ujarnya.