Pengendali Melaka United, Eric Williams, dalam dilema apabila tidak dapat menurunkan dua tonggaknya, R. Surendran dan Sergio Aguero, yang dilanda kecederaan menjelang aksi Liga Super menentang Perak di Ipoh, malam ini.

Selepas seri 1-1 ketika menentang Selangor di Stadium Selayang tempoh hari, Melaka berharap dapat mengutip mata lagi apabila bertandang ke Stadium Perak.

Perancangan Williams, bagaimanapun, terganggu apabila mendapat perkhabaran kurang gembira ekoran dua tonggaknya, Surendran, mengalami kecederaan lutut kiri, manakala Aguero masih belum pulih daripada kecederaan hamstring.

"Kami menghadapi beberapa masalah kecederaan.

"Kedua-dua pemain terbabit akan menjalani sesi ujian kecergasan sebelum kami memutuskan sama ada dapat diturunkan atau tidak.

"Kami membawa mereka bersama (ke Ipoh) sebagai pelan sokongan. Saya berasakan adalah berisiko untuk menurunkan mereka memandangkan ini baru perlawanan kedua kami musim ini," katanya.

Bukan sahaja masalah kecederaan yang menghantui pengendali dari Australia itu, bahkan isu jentera serangan yang lemah juga adalah antara aspek yang diberi penekanan.

Justeru, Williams memberi bayangan akan menukar taktikalnya.

Melaka sebelum ini menggunakan formasi 4-3-2-1 dengan Amri Yahyah digandingkan dengan Aguero untuk memberi sokongan kepada penyerang tunggal, Ilija Spasojevic.

"Kami mengadakan latihan rombakan taktikal sebelum berangkat ke sini kerana sedar fizikal tinggi yang dimiliki pemain import Perak.

"Mereka juga kelihatan teratur ketika dalam situasi bola mati, maka kami perlu memberi saingan yang sama."