PERAK 0 MELAKA UNITED 1

Melaka United menjauhkan diri daripada zon penyingkiran Liga Super selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak FC dalam perlawanan di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Gol tunggal perlawanan daripada Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dalam babak kedua sudah cukup untuk skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu melonjak ke tangga kelapan dengan 10 mata biarpun pernah ditolak tiga mata susulan isu tunggakan gaji pemain pada pertengahan bulan lalu.

Perak memberikan ancaman awal menerusi percubaan Izzuddin Roslan pada minit ketiga tetapi penjaga gol Melaka, Norazlan Razali, bertindak tangkas menyelamatkan percubaan tepat itu.

Tujuh minit kemudian, pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula, memperoleh peluang terbaik di depan gawang Melaka tetapi sentuhan pertamanya ke atas hantaran jauh Careca berakhir mengecewakan.

Melaka turut berpeluang pada minit ke-37 tetapi Shahmim Yahya gagal menyudahkan percubaan jarak jauh susulan hantaran gemilang Sony Norde.

Pelawat membuktikan mereka pasukan yang lebih baik dalam babak kedua dan hampir menemui sasaran menerusi tandukan Jan Suk-won bermula daripada sepakan percuma Sony tetapi tandukannya sekadar menggegarkan palang gol Perak, yang dikawal penjaga gol muda, Azri Ghani.

Gol yang dicari-cari pasukan Hang Tuah itu akhirnya tiba pada minit ke-61 apabila Wan Zaharulnizam mudah menolak masuk lorongan Stefan Nikolic dalam satu situasi kelam kabut di depan gawang tuan rumah.

Malang buat Perak apabila kekalahan terbaru itu turut meletakkan mereka di tangga ke-10 selepas hanya memungut sembilan mata daripada 10 perlawanan dan hanya dibezakan empat mata daripada zon penyingkiran.


? KEDUDUKAN LIGA SUPER - LS10 #LigaSuper2021

Posted by Malaysian Football League on Sunday, 25 April 2021