Satu mata yang diraih Melaka ketika bertemu Pulau Pinang malam tadi terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila kapten pasukan, Ilija Spasojevic, disahkan mengalami kecederaan hamstring.

Sebelum ini, Spasojevic dilaporkan mengalami kecederaan tersebut tetapi di atas semangat mahu membantu pasukan, dia berkeras mahu diturunkan menentang Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Montenegro itu hanya beraksi selama 10 minit dan terpaksa digantikan dengan Mohd Fauzi Roslan selepas mengadu mengalami kesakitan kaki kanan.

Sehubungan itu, jurulatih Melaka, Eric Williams, terpaksa melupakan khidmat Spasojevic untuk aksi menentang Kedah, esok.

"Saya memberitahunya agar berehat untuk perlawanan itu kerana kami memiliki aksi lebih penting nanti. Tetapi dia mahu beraksi dan kini mengalami kecederaan sekali lagi.

"Ia satu kekecewaan apabila anda kehilangan penyerang dalam 10 minit pertama," katanya selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Sementara itu, dalam kem Pulau Pinang, satu gol bermakna yang dijaringkan pemain pertahanan, Reinaldo Lobo, pada minit akhir perlawanan dirai dengan penuh gemilang di dalam bilik persalinan.

Sekalipun seri, ia sudah cukup untuk mengembalikan keyakinan pemain dan jurulatih dan mereka berharap dapat meneruskan momentum ini bagi baki perlawanan dalam Liga Super.

"Saya menganggap ia seperti satu kemenangan kerana mendapat satu gol. Semua gembira kerana kami mendapat mata pertama," kata Lobo.