Mengurangkan kesilapan mudah dan memperbaiki kelemahan ketika bertahan merupakan antara fokus yang perlu diberi perhatian oleh Melaka United menjelang pertemuan Liga Super dengan PKNS FC di Shah Alam, esok.​​​​​​​

Ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan, berkata biarpun mencatat kemenangan 2-1 dalam aksi pertama Liga Super menentang Petaling Jaya FC, beliau melihat masih terdapat kelonggaran yang perlu diperbaiki dan mengingatkan pemain supaya tidak cepat berasa selesa.​​​​​​​

​​​​​​​Sebaliknya, Zainal Abidin, 57, berkata pemain skuad Hang Tuah itu diingatkan agar meningkatkan tahap prestasi dan permainan bagi memastikan skuad itu dapat membawa pulang tiga mata.​​​

​​​​​​​​​​​​​​"Kesilapan yang dilihat bukanlah di bahagian (pemain) pertahanan tetapi kelemahan-kelemahan dilakukan pemain ketika bertahan amat penting (untuk dibaiki) dan kami percaya semua ini akan dapat dilakukan dalam perlawanan seterusnya.​​

"Saya yakin pasukan ini akan lebih meningkat dan saya mahu pemain menunjukkan mutu terbaik dengan segala kemampuan yang ada ketika menghadapi PKNS FC nanti," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan.

Zainal Abidin berkata beliau menghormati PKNS FC sebagai sebuah pasukan yang telah lama berada dalam saingan Liga Malaysia selain kehadiran pemain yang berkualiti.

"PKNS telah memberi tentangan hebat dalam Liga Super dalam musim-musim terdahulu tetapi sudah tentu kami mahu berikan yang terbaik dalam perlawanan ini," katanya.

Sementara itu, pemain berpengalaman Melaka United, Shukor Adan, mahu rakan-rakannya lebih fokus dan memberi komitmen lebih 100 peratus dalam padang ketika bertemu PKNS.

Pemain berusia 40 tahun itu berkata aksi lebih baik harus ditonjolkan berbanding ketika meraih kemenangan pertama selain tidak boleh memandang mudah pasukan lawan yang memiliki kualiti pemain tempatan dan import yang amat baik.

“Jadi, fokus harus diletakkan 120 peratus untuk meraih mata penuh,” katanya.

-- BERNAMA