Jurulatih Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan, menuntut tiga mata daripada barisan pemainnya demi menjamin kedudukan yang lebih baik tatkala menduduki tangga ketujuh ranking Liga Super.

Kekalahan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), minggu lalu, memberi kesan besar buat skuad kendaliannya.

Justeru, mata penuh yang tercicir perlu dicari semula dan Zainal menganggap peluang terdekat adalah aksi dengan PJ City, malam ini.

Bagaimanapun, skuad Hang Tuah itu akan kehilangan sentuhan Raimi Mohd Noor yang menjalani penggantungan selain Safiq Rahim yang belum dapat dipastikan kelibatnya di Stadium MBPJ.

"Kami mahu baiki kedudukan dalam Liga Super dan kalau menang, kedudukan kami mungkin akan melonjak beberapa anak tangga di samping PJ City sendiri juga mahu berbuat demikian.

"Saya menjangkakan satu lagi aksi sengit dan saya berharap pemain-pemain akan menunjukkan disiplin yang baik," katanya.

Zainal tidak menafikan kelibat pemain tengah itu mampu membawa peranan positif untuk merealisasikan sasaran pelawat.

"Saya tidak mengatakan ketiadaannya akan memberi kesan dalam perlawanan tetapi mungkin ia melibatkan perubahan taktikal.

"Saya memiliki kepercayaan terhadap pemain-pemain yang ada dalam pasukan ini berdasarkan apa yang mereka tunjukkan dalam aksi separuh masa kedua ketika berdepan JDT.

"Saya harap aksi seperti itu dapat diulangi dan sesiapapun yang akan diturunkan kelak boleh beraksi dengan baik," tambahnya.