Melaka United melakar kebangkitan susulan ketinggalan sebelum melakar kemenangan 2-1 ke atas Perak FC dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.

Melaka terlebih dahulu memulakan permainan dengan serangan demi serangan namun setiap percubaan yang dimiliki gagal disempurnakan dengan jaringan.

Situasi mula memihak Perak apabila Syahir Bashah dijatuhkan pertahanan Melaka, Khairul Anwar Shahrudin dalam kotak penalti -- Sergio Aguero menggunakan peluang tersebut untuk meletakkan Perak di hadapan pada minit ke-30.

Kelebihan terdahulu membenarkan Perak terus selesa melancarkan serangan namun beberapa peluang yang berjaya ditepis Khairul Fahmi mengecewakan pelawat.

Rehat separuh masa membenarkan Melaka kembali mengatur gerakan, barisan pemain berpengalaman yang dimiliki skuad kendalian Zainal Abidin Hassan seakan menemui nafas baru dalam misi mendapatkan jaringan.

Dan ia terhasil menerusi Manuel Ott, pemain kebangsaan Filipina itu bijak melakukan gerakan solo di bahagian tengaha sebelum melepaskan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Nasrullah Aziz pada minit ke-66.

Selepas menggegar palang Perak menerusi sepakan percuma dalam separuh masa pertama, Sony Norde akhirnya menembusi gawang Perak menerusi percubaan pada minit ke-79 sekaligus meletakkan Melaka mendahului permainan.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol tambahan namun menemui jalan buntu sekaligus memastikan kemenangan buat Melaka di laman sendiri