Ketua jurulatih The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic, lebih yakin keakraban dan kesefahaman di antara pihak pengurusan, pemain serta penyokong mampu mencetus evolusi bola sepak di Perak.

Menurut Mehmet, ramuan ini terbukti ketika beliau bersama Selangor satu ketika dahulu.

"Saya mahu semangat sebegini di Perak. Seperti sebuah keluarga.

"Nikmati kemenangan dan jika kalah, sama-sama bertanggungjawab," ujarnya.

"Tempoh rehat hampir sebulan ini banyak memberi ruang untuk saya mengenali siapa mereka (pemain). Ketika ini, setiap mereka bekerja kuat merebut tempat kesebelasan utama. Sikap profesional yang dipamerkan memberi saya semangat".

Tambah Mehment lagi, "Perak sudah hampir 15 tahun tidak menjulang piala. Saya faham, malah terkesan dengan suara dan keinginan peminat.

"Tapi percayalah, garapan untuk mematangkan sesebuah pasukan memerlukan masa.

"Saya minta semua faham. Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah telah melaluinya. Inilah masanya saya akan bekerja keras untuk memberikan yang terbaik."