Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, menganggap pertembungan dengan Selangor ibarat mengimbau semula kenangan manis bersama bekas pasukannya itu, namun kali ini ia perlu disudahkan dengan memastikan kekalahan buat Red Giants.

Bakal berada di atas padang yang sama esok, misi kali ini berbeza buat Mehmet.

Agak janggal pada awalnya, Mehmet bagaimanapun menjelaskan perkara itu bukan halangan besar untuk dia memastikan tiga mata pertamanya bersama Perak.

"Ia sentiasa menarik untuk berdepan bekas pasukan. Saya mahukan kemenangan, inilah bola sepak dan saya mahu meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.

"Ia pasti perlawanan yang istimewa berdepan Selangor, saya harap kami dapat memperagakan aksi menarik dan membawa pulang tiga mata," katanya.

Mengakui ia satu perlawanan yang memiliki nilai sentimental, Mehmet lega beberapa pemain seperti Abdul Hadi Yahya dan Shahrom Kalam dijangka mampu membantunya dengan lebih cepat untuk membentuk sebuah pasukan.

Tegas Mehmet, aksi pertamanya menentang Felda United memberi gambaran positif untuk Perak lebih mendominasi di Stadium Selayang, esok.

"Saya baru bersama pasukan ini selama seminggu, apa yang saya nampak, pemain-pemain cukup teruja dan profesional.

"Kami mula saling mengenali dan ia pasti akan mengambil sedikit masa. Tetapi saya gembira dengan pemain-pemain yang saya ada dan juga komitmen mereka."