'Different class', itu yang ditegaskan jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, mengenai kebangkitan anak buahnya untuk mengikat Pahang 3-3 ketika hampir pulang dengan tangan kosong dari Stadium Darulmakmur, semalam.

"Kami melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama dan beberapa pemain yang diturunkan telah diberikan beberapa nasihat ketika rehat separuh masa. Kebangkitan yang dipamerkan Perak merupakan sesuatu yang luar biasa," katanya.

Terdahulu, tragedi tewas 7-0 dibelasah Johor Darul Ta'zim di Stadium Sultan Ibrahim seakan berlaku lagi di Kuantan apabila Perak ketinggalan 3-0 dalam babak pertama.

Gol skuad Tok Gajah dihasilkan R. Dinesh, Nik Sharif Haseefy dan Ivan Carlos França Coelho.

Mujur, anak buah Mehmet bijak mengawal tekanan untuk bangkit meraih tiga gol menerusi J. Partiban, Shahrel Fikri Md Fauzi dan gol sendiri pihak lawan sekali gus memastikan satu mata berharga.

Keputusan itu bagaimanapun tidak menggembirakan pengendali Pahang, Dollah Salleh, yang menganggap kemasukan pemain simpanannya gagal menjalankan tugas masing-masing dalam pertemuan itu.

"Apabila pertukaran yang dilakukan, ia telah menggugat permainan pasukan namun kami perlu menerimanya kerana ia adalah sebahagian daripada bola sepak. Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pasukan," kata Dollah.