Mehmet Durakovic, Perak FC berpisah?

Muzaffar Musa
Februari 21, 2021 13:20 MYT
Desas-desus mengenai perpisahan Perak FC dengan ketua jurulatihnya, Mehmet Durakovic, semakin bertiup kencang menjelang sepak mula Liga Super 2021 pada 5 Mac ini.
Difahamkan kedua-dua pihak itu kini sedang berunding untuk mencapai penamatan kontrak secara persetujuan bersama.
Bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed, berkata pengendali dari Australia itu masih memegang jawatannya dan akan bekerja seperti biasa sambil memberikan jaminan pihaknya akan memberikan makluman secara rasmi sekiranya terdapat perubahan yang berlaku.

Mehmet Durakovic dan Perak FC berpisah? Difahamkan, kedua-dua pihak sedang berunding untuk penamatan kontrak secara bersama kira-kira dua minggu sebelum sepak mula Liga Malaysia 2021!

— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) February 21, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam satu temu bual Nadi Weekend hari ini, Khairul Shahril berkata: "Mehmet sebenarnya masih bertugas seperti biasa dan sekiranya ada apa-apa perubahan berlaku, kami akan memaklumkannya secara rasmi kepada semua sahabat media.
"Setakat ini, segalanya berjalan seperti biasa dan sekiranya ada apa-apa perkembangan, kami akan mengongsikannya kerana tiada apa untuk disorok, terutama buat penyokong Perak itu sendiri."
Durakovic dikhabarkan tidak menyertai sesi latihan Perak di gimnasium semalam.
Ditanya sama ada itu menjadi satu petanda bahawa jurulatih berkenaan tidak akan meneruskan peranannya musim ini, Khairul Shahril membalas: "Saya ada menghubungi pihak pengurusan semalam dan dapat tahu bahawa dia tidak hadir kerana kurang sihat.
"Saya sudah pesan dari awal dalam taklimat SOP (prosedur operasi standard) bahawa kepada sesiapa, tidak kira pemain atau pegawai, yang berasa tidak sihat diminta untuk tidak melibatkan diri dengan pasukan sehingga mereka dilihat dan didapati benar-benar sihat.
"Kerana kami khuatir ia akan menjejaskan keseluruhan pasukan," katanya.
#Liga Super Malaysia #Mehmet Durakovic #Perak FC