Kedudukan Sergio Ramos dalam kem Paris Saint-Germain (PSG) semakin tergugat apabila media Perancis melaporkan jaguh Ligue 1 itu sedia membatalkan kontraknya.

Pertahanan Sepanyol itu berkelana ke Paris pada musim panas lalu dengan reputasi empat trofi Liga Juara-Juara (UCL), lima gelaran Laliga dan empat trofi Piala Dunia Kelab.

Selepas 671 penampilan untuk Los Blancos dengan menyumbangkan 101 gol, krisis kecederaan mula mempengaruhi kelibat Ramos yang hanya diturunkan 21 kali musim lalu.

Malah, dia terlepas kempen Euro 2020 selepas jurulatih Sepanyol, Luis Enrique, meragui tahap kecergasan pemain berusia 35 tahun itu.

Sehingga kini, masalah kecederaan terus membelenggunya sejak tiba di PSG.




FourFourTwo melaporkan walaupun pilihan itu tiada dalam agenda, kemungkinan penamatan kontraknya pada Januari depan bukanlah satu khabar yang tidak berasas walaupun ia dinafikan Ketua Pengarah PSG, Leonardo.

"PSG telah dapat membuat kesilapan dengan menandatanganinya," tulis media Perancis itu.

Ia juga didorong usaha kelab ibu kota Perancis itu untuk menjimatkan tanggungan kos gaji dalam usaha mereka memujuk penyerang muda, Kylian Mbappe, supaya memperbaharui kontraknya yang akan berakhir hujung musim ini dengan menawarkan gaji lebih lumayan.