Pemain sayap England, Raheem Sterling, berang dengan layanan media terhadap dirinya dan mengganggap mereka mahu menjatuhkan semangatnya.

Sterling sentiasa berusaha untuk menepis daripada menjadi tajuk utama berita yang berunsur negatif sepanjang kariernya, daripada cuba berselindung mengenai pembuelian rumah buat ibunya hinggalah kepada tatu pistol sebagai peringatan kepada bapanya.

Tetapi bintang Manchester City itu yang telah meledak 20 gol buat juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pada musim 2017-18, menegaskan media memandang serong terhadapnya.

"Sedih buat saya mengatakan perkara ini. Media melihat saya sebagai seorang yang suka menunjukkan kemewahan.

"Saya tidak faham di mana hadirnya pandangan ini, terutama sekali selepas saya membelikan rumah untuk ibu saya. Sukar buat saya untuk menerima apa yang media tulis tentang saya.

"Ramai yang tidak tahu bahawa 15 tahun lalu, kami hidup susah, perlu membersihkan tandas di Stonebridge dan membeli sarapan daripada mesin layan diri (vending machine).

"Ibu saya berhak untuk bergembira. Dia datang dari Jamaica dan menjalani kehidupan yang sukar dan kini dia adalah pengarah kepada sebuah rumah penjagaan.

"Dan anaknya bermain untuk England.

"Jika anda membesar seperti saya, jangan membaca apa yang ditulis oleh media. Mereka hanya mahu merampas kebahagiaan anda dan mahu menjatuhkan anda," katanya.

Sterling mungkin tidak akan beraksi dalam perlawanan berdepan Panama selepas bergelut dalam aksi pembukaan Piala Dunia dengan Tunisia.