Marcus McGuane cemerlang dalam penampilan sulung bersama Barcelona selepas pemain berusia 19 tahun itu menjadi pemain pertama dari England sejak Gary Lineker untuk tampil beraksi buat gergasi LaLiga itu.

McGuane hadir sebagai pemain gantian pada minit ke-76 ketika Barcelona menewaskan Espanyol 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas mereka seri tanpa jaringan hingga tamat waktu perlawanan dalam saingan Supercopa de Catalunya.

Pemain muda England itu berhijrah dari Arsenal pada Januari, dengan menyertai pasukan Barca B selepas menandatangani kontrak serta memiliki klausa perpindahan bernilai EURO25 juta (RM121 juta).

"Ia merupakan satu pengalaman yang bermakna buat saya dan keluarga. Kata-kata tidak dapat meluahkan perasaan saya. Ia merupakan satu pengalaman yang bermakna," kata McGuane.

"Apabila jurulatih memberitahu saya untuk turun beraksi, saya cuba bertenang dan cuba untuk bermain dengan sebaik mungkin."

Bekas pemain kebangsaan England, Lineker, meninggalkan Everton untuk bersama Barcelona pada 1986.

Lineker memenangi Copa del Rey dan Piala Pemenang Eropah sebelum meninggalkan Barcelona pada 1989, setelah menjaringkan 50 gol dalam semua kejohanan.

Ousmane Dembele, Jasper Cillessen dan Yerry Mina merupakan antara pemain dalam kesebelasan utama yang beraksi, dengan Paco Alcacer dan Denis Suarez mengetuai jentera serangan.