Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, mempertahankan Kylian Mbappe, yang dikritik hebat susulan kekalahan 0-2 pasukan itu kepada Turki sambil menegaskan pemain itu hanya salah seorang daripada 10 pemain yang gagal beraksi baik.

Jaringan daripada Kaan Ayhan dan Cengiz Under memastikan Turki menumbangkan juara dunia itu di Konya dalam pusingan kelayakan Euro 2020, hujung minggu lalu dan terlepas kedudukan teratas Kumpulan H kepada pasukan tuan rumah berkenaan.

Mbappe mendapat kritikan bertubi-tubi selepas bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu kehilangan bola sebanyak 22 kali -- rekod terburuknya di peringkat antarabangsa -- dan kelihatan bergelut untuk melepasi kawalan Hasan Ali Kaldirim.

Perancis dijangka akan bangkit untuk menewaskan Andorra, awal pagi esok dan Mbappe pastinya akan berasa tertekan untuk memberikan respons jika dia diturunkan dalam perlawanan itu.

Bagaimanapun, Deschamp menegaskan penyerang itu tidak perlu membuktikan apa-apa yang lebih berbanding 10 pemain lain sambil percaya hanya penjaga gol, Hugo Lloris, memaparkan aksi meyakinkan dengan reputasinya yang utuh.

"Selain Hugo Lloris yang mengekalkan prestasinya di Turki, semua pemain lain beraksi di bawah tahap sebenar," katanya kepada wartawan.

"Anda (pengamal media) meletakkan Kylian sebagai sasaran, namun saya melihatnya secara kolektif.

"Dia beraksi di bawah tahap sebenar dan kurang lincah.

"Dalam sikap individunya yang gemar mengambil risiko di mana ia merupakan sebahagian daripada kualiti yang dimilikinya, dia tidak berjaya melakukannya seperti kebiasaan dan dia juga tidak menerima bola di kedudukan terbaik.

"Namun, saya tidak akan memberikan layanan istimewa buat Kylian.

"Saya bercakap kepadanya seperti mana saya bercakap kepada pemain lain dan dia dan yang lain bergantung secara kolektif," katanya.

Deschamps mengakui barisan pemainnya mungkin terlalu keletihan ekoran tempoh setahun yang amat sibuk.

"Ia merupakan masalah buat keseluruhan pemain Perancis yang terlibat dengan Piala Dunia.

"Hari cuti mereka telah dipendekkan, kalendar kejohanan amat padat dan terdapat lanjutan (musim).

"Namun, ia turut dilalui negara-negara lain.

"Apabila kami menyertai sesuatu kejohanan, musim selepas itu pasti menjadi sebegini.

"Waktu bercuti akan memulihkan mereka dan mereka amat memerlukannya.

"Kami mempunyai satu lagi aksi penting yang perlu dilalui secara kolektif sebelum mereka memperoleh waktu rehat yang diperlukan," tambahnya.