Kylian Mbappe telah meyakinkan Mauricio Pochettino bahawa dia tidak akan terpengaruh dengan spekulasi perpindahannya tatkala Paris Saint-Germain (PSG) bersaing untuk menafikan penyerang itu daripada pujukan Real Madrid.

Penyerang Perancis itu menjadi sasaran Madrid sejak Ogos lalu dan gergasi Sepanyol itu dijangka sekali lagi cuba menandatangani pemain berusia 23 tahun tersebut dengan kontraknya yang berbaki kurang enam bulan lagi akan tamat.

Setakat ini, Mbappe bertindak mengunci mulutnya, lantas pilihan bekas bintang Monaco itu menjadi tanda tanya banyak pihak.

Bagaimanapun, pengurus PSG, Pochettino, berusaha mengekalkan fokus anak buahnya itu kepada perkara di atas padang, lagipun rundingan kontrak bukan sebahagian daripada bidang kuasanya.

Mbappe mungkin berpindah percuma, tetapi PSG tetap berharap dia akan bersetuju dengan kontrak lumayan yang ditawarkan.

Pochettino yakin dengan jaminan mulut selain tingkah laku pemain itu sendiri -- yang menjaringkan 15 gol dalam 24 perlawanan musim ini -- bahawa dia tidak akan terganggu dengan persoalan tentang musim depannya.

“Saya fikir situasi kontrak dalam bola sepak hanya memberi kesan jika anda tidak cukup matang,” kata Pochettino dalam sidang akhbar.

"Kylian Mbappe sudah matang dan kami tahu apa syaratnya di sini. Kami tidak fikir ia akan menjadi satu masalah. Kami semua berharap Kylian Mbappe akan kekal di kelab ini untuk jangka masa panjang, tetapi ada dua pihak yang akan menentukan keputusan ini.

"Kami berharap Kylian Mbappe mampu meneruskan prestasi terbaiknya dan akan ada penyelesaian positif buat semua pihak."

A post shared by Kylian Mbappé (@k.mbappe)



Mbappe berkata dia tidak berhajat untuk berpindah pada pertengahan musim, ini bermakna PSG masih sempat cuba meyakinkannya sepanjang baki kempen ini.

Mereka sedang mendahului Ligue 1 dan mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara dengan gergasi dari kota Madrid itu menjadi lawan seterusnya, ia sudah pasti akan mencetuskan spekulasi baru.

Bercakap kepada CNN, Mbappe berkata: "Tidak, saya tidak akan menyertai Real Madrid pada Januari. Ia tidak akan berlaku pada bulan ini.

"Saya berada di PSG, saya sangat gembira dan 100 peratus saya akan menamatkan musim ini sebagai pemain PSG. Saya akan memberikan segala-galanya untuk memenangi semua piala tahun ini bersama Paris."

PSG berharap untuk kembali memenangi Coupe de France selepas menjulang gelaran itu enam kali dalam tujuh musim terakhir dan memulakan kempen mereka menentang pasukan divisyen empat, Vannes, awal pagi esok.

Mereka akan kehilangan Lionel Messi yang dijangkiti COVID-19 ketika pulang ke Argentina sementara Juan Bernat, Sergio Rico dan Nathan Bitumazala turut menjalani kuarantin.

"Saya sukakan Coupe de France," kata Pochettino.

"Ia adalah pertandingan tertua di Perancis, kami menggemari pertandingan ini dan akan menentang pasukan seperti Vannes. Inilah bola sepak yang sebenar, ia suara orang ramai dan kami tidak sabar-sabar lagi untuk berada di sana."