Raphael Varane masih belum bercakap dengan Kylian Mbappe mengenai perpindahannya ke Real Madrid tetapi keinginan yang dimiliki oleh penyerang itu mampu membawanya ke Santiago Bernabeu.

Spekulasi tentang penghijrahan Mbappe meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) bertiup kencang ketika Real dalam proses membina semula pasukan selepas mengharungi musim yang mengecewakan.

Tetapi Presiden Real Madrid, Florentino Perez, mendedahkan belum membuat sebarang perbincangan dengan pemain kebangsaan Perancis itu.

Selepas dinobat sebagai Pemain Terbaik Ligue 1 musim ini, pemain berusia 20 tahun itu berkata, "Mungkin sudah tiba masa untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar, mungkin bersama PSG atau di tempat lain dengan projek baru.

Varane, yang meninggalkan Ligue 1 untuk bersaing dalam LaLiga ketika menyertai Real dari Lens pada Jun 2011, enggan menolak kebarangkalian bergandingan dengan Mbappe di peringkat kelab bagi musim 2019-20 tetapi mengakui Mbappe "sentiasa mahukan lebih".

"Saya tidak mahu bercakap mengenai perpindahan pemain menyertai Real. Saya memberikan tumpuan kepada Perancis," kata Varane, yang sedang membuat persiapan bersama Les Bleus untuk aksi persahabatan berdepan Bolivia.

"Saya belum bercakap dengan Mbappe mengenai perpindahan. Kami membuat persiapan menghadapi perlawanan esok.

"Mbappe seorang pemain penting untuk Perancis. Kami meletakkan harapan tinggi kepadanya.

"Permainannya semakin berkembang dan peningkatannya sangat pantas.

"Keinginannya untuk meraih lebih banyak kejayaan mendorong dirinya menjadi pemain yang lebih berkualiti. Dia seorang pemain yang berkeyakinan tinggi, ia merupakan bakat semula jadi yang dimiliki Mbappe," katanya.